PAS: Melayu rosak bukan sebab keturunan Dr M


Pemuda PAS berkata, pemikiran bangsa Melayu rosak pada hari ini bukan kerana Tun Dr Mahathir Mohamad bukan berketurunan Melayu, sebaliknya dasar Umno yang hanya membela Melayu tertentu.

Ketua Pemudanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, fikiran bangsa Melayu rosak juga kerana Umno menzalimi bangsa Melayu lain ekoran berlainan aliran politik.

Khalil berkata lagi, walaupun bekas perdana menteri itu telah meninggalkan Umno, namun Melayu tetap rosak jika meneruskan agenda-agenda yang salah dan bercanggah dengan Islam.

"Rosaknya fikiran bangsa Melayu bukan kerana Tun Mahathir yang didakwa bukan keturunan Melayu, akan tetapi kerana dasar Umno yang membela Melayu tertentu dan menzalimi Melayu lain kerana berlainan aliran politik dengannya.

"Walaupun Tun Mahathir telah meninggalkan Umno, Melayu tetap rosak jika meneruskan agenda-agenda yang salah dan bercanggah dengan Islam," katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, Pemuda PAS menyeru supaya bangsa Melayu kembali kepada Islam sebagai jalan penyelesaian dan bukan dengan cara Umno.

Katanya, cara Umno ialah dengan menggula-gulakan bangsa Melayu melalui janji-janji manis kebendaan setiap kali pilihan raya.


"Masih belum terlambat kepada bangsa Melayu untuk kembali ke pangkal jalan," kata Khalil lagi yang turut memberitahu PAS konsisten menjadikan Islam sebagai jalan penyelesaian.

Baru-baru ini, isu keturunan Mahathir hangat diperkatakan ekoran kenyataan yang dikeluarkan Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid yang juga menteri dalam negeri mendakwa, bekas perdana menteri selama 22 tahun yang berketurunan India itu mempergunakan orang Melayu semasa pentadbirannya.
loading...