MB N Sembilan harap ada wakil kaum Cina dalam pentadbiran selepas PRU14


Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berharap ada wakil rakyat daripada kaum Cina dalam pentadbiran kerajaan negeri selepas pilihan raya umum akan datang.

Pada masa ini pentadbiran kerajaan negeri mempunyai 11 Exco dan kebanyakannya orang Melayu dengan hanya seorang wakil rakyat kaum India.
Mohamad berkata justeru, MCA Negeri Sembilan perlu bekerja lebih kuat untuk meyakinkan masyarakat Cina mengenai kepentingan suara kaum itu dalam kerajaan negeri untuk sama-sama membuat dasar atau sebarang keputusan.

“Harapan saya selaku pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan untuk melihat penyertaan kaum Cina dalam pentadbiran kerajaan negeri, bukan secara dilantik tetapi dipilih orang ramai.

Saya harap MCA kerja kuat yakinkan masyarakat Cina di negeri ini pentingnya suara Cina dalam pentadbiran kerajaan negeri bagi memastikan kepentingan dan apa sahaja permasalahan dapat diputuskan bersama.

“Tetapi ini bukanlah bermakna selama ini kerajaan sekarang walau tidak ada penyertaan kaum Cina, mereka diabaikan, sebaliknya lebih baik ada wakil kaum Cina dalam kerajaan negeri untuk membuat dasar dan keputusan bersama,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Hasrat beliau disampaikan kepada Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam pertemuannya dengan Liow semalam.

Mohamad berkata, justeru masyarakat Cina di negeri ini haruslah bijak menggunakan peluang dalam pilihan raya akan datang untuk meletakkan wakil mereka dalam kerajaan negeri.

Mengenai saringan calon bakal bertanding oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad berkata perkara itu lama dipraktikkan di negeri ini bahkan untuk melantik Ketua Kampung juga perlu melalui 5 saringan.

“Ini (saringan) memang dipraktikkan di negeri sudah lama dan BN juga sendiri memang mempraktikkan proses ini. Kita bukan sahaja bekerjasama dengan SPRM tetapi juga dengan Jabatan Insolvensi Malaysia.

“Kita memang tegas mengenai perkara ini… bukan itu sahaja, malah penerima pingat darjah kebesaran yang mempunyai masalah undang-undang juga kita tarik balik,” katanya.
loading...