Kumpulan Zero Dikecam Pakai Pakaian Tradisional Wanita Iban


Masyarakat Dayak di Sarawak terus menyelar tindakan kumpulan pelawak Zero yang memakai pakaian tradisional wanita Iban ketika membuat persembahan dalam episod pertama Maharaja Lawak Mega 2017 di saluran Astro Jumaat lepas.

Beberapa laporan polis dibuat oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan banyak NGO berpengaruh meminta penganjur serta kumpulan itu membuat permohonan maaf secara terbuka mengenai perkara tersebut.

Zero, juara Maharaja Lawak Mega 2014 terdiri daripada tiga adik-beradik dari Sabah yang diketuai oleh abang sulung Mohamad Syaiful Doli Sharif bersama-sama Sharif Kadir dan Sharid Kunal.

Rasa tidak puas hati terhadap sketsa mereka timbul apabila seorang daripada anggota kumpulan itu memakai ‘ngepan indu’ iaitu mengikut adat Iban, pakaian itu secara tradisinya digunakan oleh kaum wanita masyarakat Iban.

Antara kritikan yang dilontarkan ialah daripada Presiden Persatuan Dayak Miri (DAM), Serawa Budol, menyifatkan komedi yang dipersembahkan oleh Zero itu menghina masyarakat Iban.

“Bukan sahaja mereka menyinggung perasaan komuniti Iban, pertunjukan komedi itu telah menghina dan mengejek budaya kerana jantina lain tidak dibenarkan memakai pakaian tradisional itu,” katanya kepada Bernama hari ini.

“Kami mahu penganjur dan anggota kumpulan berkenaan membuat permohonan maaf secara terbuka atas kejadian itu dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi,” katanya dan menambah pakaian itu adalah suci dalam masyarakat Iban.

Selain DAM, NGO lain yang mengutuk persembahan Zero ialah Kumpulan Pemikir Dayak (DDTG), Pemuda Dayak Sarawak cawangan Limbang, Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) dan Persatuan Penggiat Seni dan Kebudayaan Dayak Kuching yang telah menyuarakan kritikan mereka secara terbuka.

Berdasarkan laporan media tempatan, tiga laporan polis dibuat oleh tiga NGO di Balai Polis Pusat Miri sejak Isnin lepas yang mana laporan pertama dibuat oleh Presiden Persatuan Raban Ngepan Iban (RNI) Steven Abas Patrick pada 6.30 petang.

Laporan polis kedua dan ketiga dibuat semalam di balai sama oleh Terabai Menua Malaysia-Brunei (Terabai Menua) dan Dayak360. – Bernama
loading...